Sunday, 16 April 2017

Adab Ziarah Orang Sakit

🌼Nak tegur depan-depan takot dikata kuang ajo..peratikan No5 ya..sebelum datang ziarah orang sakit baik baca buku adab ziarah orang sakit dulu.

Jangan nak mandai-mandai ramal itu ini. Masa dah nak sampaila..apa la.. Depan orang yang sakit pulak dia cakap benda camtu. Tak mampu doa benda baik-baik..lebih baik DIAM. Terasa ati orang sakit..

----------------------------------------

Dalam hadith yang lain Nabi saw telah bersabda: “ Sesiapa yang menziarahi saudaranya maka dia akan berada dalam nikmat kasih sayang Allah walaupun sesudah dia duduk.” (Hadith direkodkan oleh Imam Ahmad dengan sanad yang sahih).

Apabila kita menziarahi orang yang sakit terdapat beberapa adab yang perlu kita ambil perhatian. Antaranya ialah:

1)      Memilih waktu yang sesuai untuk ziarah.

Seseorang yang sakit memerlukan waktu yang cukup dan sesuai untuk mendapat rehat yang cukup. Jika menziarahi pesakit di hospital perlulah kita mengikut masa yang telah ditetapkan untuk memudahkan rawatan diberikan secara sempurna kepada para pesakit. Sesungguhnya memudahkan urusan dan tidak membebankan seseorang muslim itu merupakan tuntutan agama.

2)      Memendekkan waktu ziarah.

Tidak perlulah bagi kita untuk berada terlalu lama di rumah pesakit mahupun di hospital. Berikanlah ruang untuk rakan taulan yang lain untuk turut sama menziarahi pesakit dan berikan masa yang secukupnya untuk pesakit rehat. Nabi saw pernah berpesan kepada Abu Dzar al-Ghifari dengan sabda Baginda: “Ziarahlah sekali sekala nescaya akan bertambah kasih sayang.” (Diriwayatkan oleh Imam al-Thabrani).

3)      Bertanya khabar dan juga keadaan pesakit.

Imam al-Bukhari telah meriwayatkan dalam karya beliau al-Adab al-Mufrad bahawa sewaktu Nabi menziarahi para sahabat yang tercedera dalam peperangan Khandak Nabi saw akan bertanyakan khabar kesihatan mereka.

Di samping itu kita ditegah daripada memanjangkan soalan iaitu banyak bertanya kepada orang yang ditimpa kesakitan. Sufian al-Tsauri berkata: “Kebodohan orang yang ziarah itu lebih memberi kesakitan kepada pesakit disebabkan kejahilannya tentang kesesuaian waktu untuk menziarahi pesakit dan juga apabila dia berada terlalu lama ketika menziarahinya.”

4)      Memberi semangat kepada pesakit supaya lebih bersabar dan tabah.

Firman Allah swt: “Sesungguhnya Kami menguji kamu dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa dan kekurangan hasil tanaman, maka berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata : Kami adalah kepunyaan Allah dan kami akan pulang kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah 156-157).  Apabila kita menziarahi saudara mara kita yang sakit berilah semangat dan kekuatan kepada mereka untuk terus sabar dan cekal atas ujian yang telah diberikan oleh Allah swt.

5)      Berdoa supaya Allah swt menyembuhkan penyakit mereka.

Antara sunnah utama Nabi saw apabila menziarahi pesakit ialah mendoakan supaya pesakit tersebut kembali sembuh. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa apabila Nabi saw berjumpa orang yang sakit Nabi akan berdoa : “Wahai tuhan sekalian manusia hilangkanlah kesengsaraan, sembuhkanlah sesungguhnya Engkaulah penyembuh dan tiada penyembuh selain Engkau, berikanlah penyembuhan yang tidak datang kembali padanya kesakitan.” (Direkodkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab Musnadnya).

Kesimpulannya menziarahi orang yang diuji dengan kesakitan adalah daripada ajaran Islam dan merupakan sunnah Nabi saw. Ziarahilah saudara-saudara kita sama ada mereka beragama Islam mahupun bukan Islam kerana Allah swt akan memberikan ganjaran pahala kepada kita dan patuhilah adab-adab ketika menziarahi mereka.

No comments:

Post a Comment